Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.

Bila Bahagia Bertangga

Ditulis oleh kawakib_duriyah Sabtu, November 29, 2008 0 ulasan

Bila wajah bertemu muka
Senyum simpul terbentuk
Riak dibaca
Bila mata bertemu mata
Kasih menyapa cinta bersua
Bila ijab dipinta qabul diterima
Cinta terpahat kasih terikat
Moga hidup kalian bahagia bertangga

Salam Pengantin Baru
Daripada Mat dan Husna
Bila bahagia bertangga selama
Kau akan faham apa erti hidup bersama

kawakib duriyah
a.k.a. Ahmad Saifuddin Yusof
Jerteh
27 Mei 2008


Semoga semua kawan-kawan saya yang berkahwin dalam masa terdekat ini atau pada masa akan datang saya dan keluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga hidup kalian bahagia bertangga.

Ungkapan

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, November 19, 2008 0 ulasan

Saya ada terlintas satu frasa. Saya tidak pasti sama ada ia memberi makna apa-apa atau ia cuma kata-kata.

Cara kita melihat diri, akan mengubah cara kita melihat dunia,
Cara kita melihat dunia, akan mengubah cara kita menilai cinta,
Cara kita menilai cinta, akan mengubah cara kita mengenal Pencipta.



Adakah ia memberi makna apa-apa, atau cuma kata-kata sahaja? Saya cuma terdetik... Hanya Allah yang Maha Bijaksana.

Gangguan

Ditulis oleh kawakib_duriyah Isnin, November 17, 2008 3 ulasan

Aku cuba gagahkan diri melirik kata-kata sementara masih ada berbaki tenaga yang sudah basi ini. Apa yang aku cuba titipkan kali ini adalah gangguan ketika aku sedang memuntahkan kalimah-kalimah ilmu di depan laptop. Aku sejak kecil memang alah dengan informasi, hiburan yang menggerakkan minda, cerita yang memberi bermacam idea. Tetapi apabila datang suatu prioriti untuk aku fokus secara padu, ia memberi impak yang menggetarkan benakku.

Kadangkala aku hanyut dengan kotak-kotak elektronik yang penuh informasi, atau wayang kecil yang memutarkan mindaku, sedangkan itu bukan daruri untuk seketika waktu ini. Aku harus menumpukan sepenuh jiwa, raga, akal budi, minda dan emosi untuk luluskan disertasi yang aku sedang tulis ini. Laluan sungguh sukar untuk aku menentang godaan yang sungguh kuat mendatang. Frekunsinya sungguh ganas untuk aku tepis, namun kadang kala, mindaku memain peranan membetulkan fizikal agar tidak tersalah arah. Memang benar, apa yang aku tonton di wayang mini dan apa yang aku baca layar siber itu memberi sejuta informasi. Tetapi bukan itu yang harus aku penuhi sekarang ini.

Aku mesti kuatkan semangat memberi fokus tiga empat lipat untuk aku lorongkan disertasi ini dengan jalan yang lurus dan rata. Sekarang ini, aku perlukan sokongan dari semua, memberi sedikit inspirasi untuk terus berjuang sambil menunggu kehadiran manusia fitrah lahir ke dunia. Mungkin dengan sekelumit coretan, memberi sejuta harapan dan impian yang mampu mengubah sedikit pandang alam agar terus menatap dan melangkah penuh gagah. Aku perlu koreksi apa yang berlaku agar dapat mengubah sedikit komitmen.

Memang benar, cara kita melihat diri, akan mengubah cara kita melihat dunia.

Sahabat sekalian, aku memohon...

Antara isteri dan disertasi

Ditulis oleh kawakib_duriyah Selasa, November 11, 2008 5 ulasan

Antara isteri dan disertasi, aku tetap memilih isteri kerana dirinya melengkap hidupku. Mengapa masih ditanya soalan begini? Mungkin kerana sebutannya seakan sama maka ia perlu dibuat soalan. Mungkin seperti perkataan halusinasi dengan halunisasi. Sebutan sama, makna beza. Tiada ilmu lain yang ajar tentang ilmu sebegini tetapi kita boleh bertemu dalam pengajian sanad. Ilmu yang diberi nama al-Mu’talif wa al-Mukhtalif. Ilmu tentang nama orang yang sama pada sebutan dan tulisan tetapi berbeza. Mungkin juga seperti Anas bin r.a. dengan Malik bin Anas. Tidak perlu kuhurai satu persatu, cukup setakat itu.

Berbalik kepada cerita isteri dan disertasi. Beza di antara dua kalimah ini adalah seperti ini; Isteri, pelengkap hidup dan teman sejiwa hingga dunia Akhirat. Disertasi, impian yang perlu dipenuhi bagi melengkapkan impian yang lebih hebat. Isteri, teman di kala susah dan senang, tawa dan tangis, ceria dan duka kerana dia adalah pelengkap selama. Disertasi, susunan beribu-ribu kalimah yang mengandungi hasil kerahan tenaga fikir, lompatan idea dan jeruk semangat yang membugar.

Antara isteri dan disertasi, aku menganggap keduanya sama penting. Bila disebut sama bukan bermakna serupa. Ringkasnya, disertasi penting sementara tetapi isteri penting selama-lama-lama. Walaupun nampak sama, maqamnya tetap berbeza, posisi jauh benar jaraknya.

Kepada isteri yang kunikahi, jangan disalahfahami baris-baris ini. Aku cuma ingin mengungkap bahawa posisi dirimu di hati ini tidak teralih atau tergerak seinci. Tiada siapa atau apa yang mencabar posisi ini. Kita saling melengkapi sesama. Bersama kita susun bunga-bunga kasih menjadi sejambak cinta yang diikat bersama Iman kepada Tuhan.

Antara isteri dan disertasi. Aku memilih isteri untuk kukasih. Aku memilih disertasi untuk kutulis. Akan kucantum keduanya untuk kubina impian yang ditulis bersama teman yang kukasih.
Antara isteri dan disertasi, ia bukan ungkapan misteri. Tetapi padanya ada kasih sejati dan impian bererti.

Untuk Ku Akhiri Disertasi ini... Ku Mohon

Ditulis oleh kawakib_duriyah Rabu, November 05, 2008 1 ulasan

Setelah sekian lama, aku terpaksa mencatit juga. Meluah muntah-muntah penat, hilang semangat.

Lebih sebulan lama aku berjaga jiwa dan raga berfikir, memerah idea. Setelah sekian lama terasa senak di mata berat di minda. Sungguh! Pengalaman ini aku tidak pernah lalui. Aku pernah lalui melaksana program yang besar. Tapi aku tidak pernah rasa sepenat ini otak kanan dan kiri. Biasa jika ada kerja besar, hanya tubuh sahaja yang lemah tetapi minda masih boleh berputar. Tetapi ada terasa sekarang, seolah putaran itu makin perlahan dan tidak sekata. Disebabkan banyak kekangan masa, tekanan waktu yang memburu, sambil menunggu orang ketiga datang tidak lama lagi. Ia menjadi makin termengah untuk berputar. Putaran minda ini ibarat memandu di jalan yang penuh simpang kadang perlahan dan kadang meluru laju.

Aku percaya ramai diluar sana menghadapi situasi sama. Tetapi mungkin sama tetapi perasaan berbeza. Aku kuatkan jiwa untuk terus melanda, berdepan dengan kekaratan putaran yang tidak sekata. Aku tahu apa yang aku tatap saban hari adalah pengkisahan manusia terulung Muhammad bin Abdullah s.a.w. Dibaca kisah, ditenung cerita penuh makna. Berkerut dahi, berdenyut kepala memandang matan Arab yang sarat makna. Kadang mengangguk, kadang menggeleng. Laksana membaca tulisan jawi arwah ayah yang berlipat-lipat sirat.

Rambut seakan segan memanjang, seolah memberi penunjuk kepada empunya diri agar berusaha semangat, rambutmu ini akan menunggu untuk diselesai. Teruskan usahamu! Aku akan setia menunggumu menitip kalimah akhir disertasi ini.

Muhammad seolah hadir tersenyum memberi dan menghulur asa untuk aku tatap kisahnya hingga akhir. Tiap baris kisah aku cuba lalui penuh faham. Kadang tersenyum sendirian, ada juga ketawa seorang. Kadang menitis air mata pabila syahdu datang.

Terima kasih Tuan Punya Bumi dan Langit, takdirmu meluru masuk untuk aku analisa kisah RasulMu memberi lautan makna, aliran cerita penuh ekspresi.

Jari-jemari yang bertatih di atas kekunci dulu, sekarang semakin pantas membuka langkah, walaupun terkadang tersembam muka ke tanah. Kalimah demi kalimah datang berdikit-dikit sehingga layar mendesak supaya dipenuhi kalimah-kalimah untuk mencari peribadi Nabi.

Ku mohon lagi tenaga untuk aku simpulkan disertasi ini untuk aku sebarkan kepada pencinta NabiMu. Akanku kongsi tawa, tangis, rindu baginda penuh syahdu. Wahai Tuhan! Aku memohon untuk aku akhiri disertasi ini penuh makna, tepat masa, sekata selama.